"Kesejahteraan" dan "kebahagiaan" itu
bukan dianya merujuk kepada
sifat badani dan jasmani insan,
bukan kepada diri hayawani sifat basyari;
dan bukan pula dia
suatu keadaan akal-fikri insan
yang hanya dapat dinikmati
dalam alam fikiran dan nazar-akali belaka.
Kesejahteraan dan kebahagiaan itu
merujuk kepada keyakinan diri
akan Hakikat Terakhir yang Mutlak
yang dicari-cari itu — yakni:
keadaan diri yang yakin akan Hak Ta'ala
— dan penunaian amalan
yang dikerjakan oleh diri itu
berdasarkan keyakinan itu
dan menuturi titah batinnya;
dan keyakinan adalah suatu keadaan diri
yang kekal berada dalam diri insan
dan yang merujuk pula kepada sesuatu
yang kekal tentang diri insan itu
— dan sesuatu yang kekal
tentang diri insan itu
dikenalinya dengan nazar
serta rasa batinnya
sebagai suatu
alat hidup ruhani
yang digelar kalbu.
Maka kesejahteraan dan kebahagiaan itu adalah
keyakinan yang kekal mesra menetap dalam kalbu insan;
dia itu keamanan dan kedamaian dan ketenteraman kalbu;
dia itu ilmu,
dan ilmu itu keimanan
dan dalam keadaan beriman;
dia itu juga ilmu yang memberi tahu
tentang tempat yang wajar
dan keadaan yang tepat,
keadaan yang benar
dan betul bagi diri insan
dalam Rencana pelbagai martabat
Alam Makhluk jelata;
dan tempat yang wajar
serta keadaan yang tepat
dan benar dan betul
bagi diri itu adalah tempat dan keadaan
yang bernisbah kepada Khaliqnya:
dia itu suatu keadaan
yang dikenali sebagai 'adl — yakni :
keadilan.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar